Jejak Hamka
Pusat Dokumentasi Adat Minangkabau adalah destinasi wajib jika datang ke Padang. Rumah gadang yang dijadikan muzium ini dibina berdasarkan seni bina tradisi adat Minangkabau. Pelawat boleh mencuba baju adat perkahwinan di sini.
Semasa perjalanan dari Kota Padang ke Padang Panjang kita akan menelusuri keindahan sungai dan air terjun. Salah satunya adalah air terjun Lembah Anai. Air terjun ini setinggi 35 meter terletak di tepi jalan berhampiran dengan jambatan dan landasan kereta api lama yang tidak lagi digunakan.
Jam Gadang ialah sebutan bagi menara jam besar yang dibina oleh penjajah Belanda pada 1926 di Bukittinggi. Jam Gadang ini menjadi mercu tanda di Bukittinggi dan berdekatan dengan kawasan pasar membeli belah barang souvenir.
Madrasah Aliyah Kuliyatul Muballighien Muhammadiah merupakan sekolah pertama Buya Hamka menjadi pengetua. Ziarah muhibbah ke madrasah ini, akan memberikan pengalaman dan penghayatan yang lebih mendalam terhadap ulamak besar nusantara Buya Hamka.
Surau Nagari Batipuh yang menjadi lokasi penggambaran filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini didirikan pada 1896. Buya Hamka mendapat inspirasi watak Hayati dan Zainuddin di dalam novel epiknya ini ketika beliau belajar mengaji di sini.
Istimewa tentang kembara Jejak Tarbiah, ada sambutan khas dari penduduk Danau Maninjau. Kampung kelahiran Buya Hamka. Sambutan adat dengan alunan gendang Tambo dan tarian santun diiringi tepak sireh buat mengalukan tamu dari jauh.
Lawang Park atau Puncak Lawang adalah destinasi pelancongan istimewa yang terletak di ketinggian 1280 meter. Jika cuaca baik, pengunjung akan dapat melihat pemandangan memukau keseluruhan Danau Maninjau dari atas.
Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka merupakan rumah yang menjadi menjadi tarikan pelancong di Tasik Maninjau, Sumatera Barat,Indonesia. Muzium ini terletak berhadapan dengan Tasik Maninjau. Terdapat pelbagai gambar, barang peninggalan, buku kepunyaan ulama Nusantara, buya Hamka.
Kutub Khanah merupakan rumah penulisan milik Haji Karim Amrullah iaitu bapa kepada Buya Hamka, dan di rumah ini terdapat khazanah tulisan tangan kitab Haji Karim Amrullah.